Anak kepada bekas penjaga gol Chelsea dan skuad kebangsaan Australia, Mark Schwarzer iaitu Julian Schwarzer sah menyertai Kuching city bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim 2023.

Perkara ini diumumkan oleh pihak kelab menerusi laman media sosial rasmi pasukan dimana penjaga gol kelahiran England itu dilaporkan menandatangani kontrak selama satu musim bersama Kuching City.

Julian memulakan karier dalam kancah bola sepak profesional bersama Fulham dimana beliau pernah berada dalam skuad B-18 Tahun kelab dan membuat penampilan pertama ketika menentang Norwich City pada 2016.

Penjaga gol berusia 23 tahun itu juga pernah dipanggil bagi beraksi bersama skuad utama dimana ketika itu beliau diletakkan sebagai penjaga gol ketiga ketika perlawanan Liga Kejuaraan EFL menentang Bolton Wanderers.

Julian juga pernah beraksi bersama beberapa kelab liga bawahan di England dan Jerman seperti Harlow Town, Slough Town, Chipstead, Pipinsried, Harrow Borough dan Basingtoke Town.

Musim lalu, Julian Schwarzer beraksi bersama skuad pembangunan iaitu Azkals Development Team yang mana ketika ini pasukan itu menduduki tangga keempat dalam carta Liga Bola Sepak Filipina.

Julian boleh beraksi dengan Australia, Jerman, Filipina dan Sepanyol ekoran keturunan ibu bapa beliau yang mana Mark Schwarzer berasal dari Australia manakal ibunya berdarah Filipina dan Sepanyol.

Di pentas antarabangsa, Julian memutuskan untuk beraksi bersama skuad kebangsaan Filipina dimana beliau membuat penampilan pertama ketika perlawanan menentang Timor Leste dimana penjaga gol itu dimasukkan pada separuh masa kedua.